Taman Rusa Tarikan Pengunjung Pelbagai Budaya Di UUM
Universiti Utara Malaysia
merupakan sebuah universiti yang ditubuhkan untuk memberi fokus kepada
pengurusan. Universiti ini dikenali sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka
yang menduduki tempat ke-10 terbaik Malaysia. Keadaan geostrategik yang berjauhan
dengan bandar atau berada di pedalaman menjadikan kawasan universiti ini unik.
Universiti ini disifatkan sebagai “Universiti Rimba Hijau” kerana dikelilingi
oleh hutan. Keindahan alam semulajadi telah menjadikan universiti ini sebagai
suatu tarikan kepada pengunjung. Kepelbagaian flora dan fauna juga telah
menarik perhatian pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
untuk berkunjung ke UUM secara terus. Keindahan kawasan universiti yang
menghijau membolehkan pihak universiti memelihara pelbagai jenis spesis hidupan
untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong. Para pengunjung harus datang dengan
sendiri untuk melihat suasana yang indah serta sangat kondusif.
Taman Rusa atau Ladang Rusa merupakan salah satu kawasan yang menarik yang harus dikunjungi oleh para pengunjung. Taman Rusa ini telah diwujudkan sekitar tahun 1994. Taman Rusa ini dikendalikan oleh Unit Park & Recreation UUM iaitu sebuah unit yang berada dibawah Jabatan Pembangunan & Penyenggaraan Universiti Utara Malaysia. Jika dibandingkan, pada tahun 1996 terdapat hanya 14 ekor rusa yang diternak berbanding pada masa kini iaitu lebih 90 ekor rusa. Dengan keluasan kawasan UUM yang sangat luas tidak hairanlah terdapat lebih 90 ekor rusa di sini. Hal ini kerana keluasan Taman Rusa sekitar 4 ekar adalah dipengaruhi oleh keluasan kawasan sekeliling. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pihak universiti menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.
Untuk pengetahuan para
pengunjung, terdapat 2 jenis rusa yang diternak di UUM iaitu rusa jenis Timorensis
dan rusa jenis Samba. Kedua-dua spesis ini telah diimport dari luar negara dan
dipelihara di bawah pengendalian Unit Park & Recreation UUM. Selaras dengan
objektif utama penubuhan Taman Rusa iaitu ingin mewujudkan sebuah taman yang
memelihara serta menternak rusa sebagai tujuan pelancongan, taman ini telah
dibuka kepada pengunjung bagi melihat dengan lebih dekat spesis-spesis rusa
yang diternak. Selain itu, ia juga adalah untuk tujuan penyelidikan dan
pemerhatian,mengelakkan kepupusan serta membiakkan rusa dalam bidang
penternakan di Malaysia.
Tertanya-tanya tentang kelebihan mengunjungi taman rusa?? Ya, pasti bakal pengunjung akan tertanya-tanya tentang kelebihan mengunjungi taman rusa ini. Antara sebab harus berkunjung ke taman rusa ini adalah kerana pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat spesis-spesis rusa yang diternak. Masyarakat yang berkunjung ke uum boleh mengenali dengan lebih jelas antara 2 jenis rusa yang terdapat di taman ini dan ia juga dapat memberi pendedahan kepada anak-anak tentang habitat hidupan liar.
Selain itu, rusa yang
jinak juga dapat menggamit perhatian masyarakat luar apabila berkunjung ke UUM.
Disebabkan rusa yang diternak adalah sangat jinak, pengunjung yang berkunjung
ke taman rusa dibenarkan untuk memberi makanan kepada rusa. Makanan yang selalu
diberikan adalah seperti rumput Guinea Kuda, rumput Signal, daun Nangka, daun Mengkirai
, tumbuhan hutan serta buah-buahan. Terdapat juga pengunjung yang memberikan
roti kepada rusa tersebut. Rusa ternakan UUM yang sangat jinak juga membolehkan
pengunjung atau pelawat memegang rusa tanpa rasa takut. Ini sesuai untuk anak-anak
kecil kerana ia memberikan pendedahan secara positif terhadap kanak-kanak.
Seterusnya, aktiviti riadah
juga boleh dilakukan secara santai di kawasan Taman Rusa. Sudah menjadi
kebiasaan bagi warga UUM khususnya mengisi masa lapang terutamanya di waktu
petang dengan mengunjungi taman rusa UUM. Hal ini adalah untuk memberikan
kelegaan terhadap segala kepenatan dan tekanan yang dialami oleh mereka
disebabkan oleh sesi pembelajaran.
Untuk memperlihatkan
keunikan kepada sesuatu, rusa yang jinak juga membolehkan sesi penggambaran
ataupun fotografi dijalankan. Terdapat ramai graduan-graduan yang menamatkan
pengajian mereka menjalankan sesi penggambaran untuk meraikan hari gilang-gemilang
tersebut. Keadaan ini memberikan kelainan yang menjadi keistimewaan kepada mereka
apabila bergraduasi. Pengantin baru juga boleh berkunjung ke taman rusa untuk
sesi penggambaran bersama keluarga. Tidak lupa juga, pelancong asing
kebanyakannya akan bergambar di sekitar Kawasan taman rusa ini.
UUM bukanlah sebuah
kampus untuk menimba ilmu pengetahuan sahaja, malah ia adalah tempat untuk
membina sahsiah diri. Kewujudan Taman Rusa di kampus UUM dapat menguatkan sahsiah
diri mahasiswa mahupun pengunjung untuk Bersama-sama memelihara dan mengekalkan
persekitaran alam semula jadi. Kunjungan dari pelbagai lapisan masyarakat
sangatlah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan spesis
haiwan yang semakin hari semakin pupus akibat aktiviti yang tidak berperikemanusiaan
iaitu pemburuan. Taman rusa ini terletak di laluan C iaitu laluan ke Inasis
Muamalat dan YAB.
No comments:
Post a Comment